Sunday, 1 November 2015

Mengembara VS Duduk Diam



   Sesi persekolahan tahun 2015 sudah menutup tirai. Tapi bukan kepada pelajar-pelajar yang bakal duduk peperiksaan awam, seperti Silil Pelajaran Malaysia dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia  yang insyaAllah akan dijalankan pada tarikh 3 November 2015. 

  Berbalik kepada topik asal entri. Pelajar-pelajar tingkatan satu - empat, kesemuanya sudah bersama menutup tirai sesi persekolahan 2015. Pejam mata hanya beberapa kali sahaja, dari awal tahun, sekarang sudah bulan November. Dan cuti semester ini akan menjadi satu cuti yang SANGAT membosankan bagi sesetengah pelajar yang hanya memerapkan punggung di rumah.

  Ya. Ada juga sesetengah pelajar yang SANGAT gemarkan cuti. Mungkin mereka ini lahir dari golongan pengembara yang mana setiap kali cuti, wajibnya pergi ke sesuatu negeri orang untuk diteroka isinya, yang sebenarnya isinya belum punpernah lagi di rasa oleh penduduk aslinya. Lumrah.
Tapi yalah, ada baiknya juga. Dapatlah sedikit sebanyak membuat otak kita berisi dengan pengalaman-pengalaman yang sedap.

_____________________________________________________________________________


MENGEMBARA ATAU DUDUK DIAM

  Manusia terkadang mengalami dilema, sama ada mahu berjalan-jalan di tanah orang atau hanya berjalan-jalan di atas tanah sendiri. Sebenarnya kedua-duanya ada pro dan kontranya. Ada baik dan ada buruknya.


BAIKNYA MENGEMBARA

  Pelajaran bolehlah kita beli dengan wang ringgit, akan tetapi pengalaman merantau di negeri orang adalah suatu kebanggaan bagi orang-orang yang selalu sahaja duduk di tanah orang lain. Mengembara menang dari segi pengalaman. Kita punya bahan untuk dikongsikan bila duduk-duduk di kedai kopi bersama rakan-rakan yang hanya memasang telinga untuk mendengar cerita kita. Ini suatu perkara yang baik.

BURUK MENGEMBARA

  Saya rasa bukanlah satu keburukan. Ia hanya peneman bagi kebaikan tadi. Kita mengembara ke tempat orang, tapi kita tidak mendapat sedikit puninput yang boleh dikongsi. Ini adalah suatu pembaziran yang amat amat teramat membazir. Hanya membuang wang ringgit ( yang isunya entah ke mana hilangnya) untuk memijak tanah orang. Sama sahaja duduk di sebuah rumah agam tanpa apa-apa peralatan asas kehidupan.

KEBAIKAN DUDUK DIAM

  Ini adalah suatu habit yang akan dilakukan oleh sebilangan orang-orang cendekia. Hanya duduk diam dan memerhatikan gerak langkah orang dan akhirnya, mengkritiknya melalui minda mahupun tulisan tangan, dan akhirnya terhasillah sebuah buku yang dalamnya hanya mengkritik perlakuan orang. Wah ! Ini juga satu kebaikan duduk diam. Kita boleh dilihat sebagai seorang cendekia bila kita hanya duduk di rumah.

BURUK DUDUK DIAM

    Keburukannya adalah apabila orang tidak melihat kita sebagai seorang cendekia. Orang hanya melihat kita sebagai seorang yang dungu, tidak tahu apa-apa, antisosial dan semua yang buruk-buruk pasal kita. Ini juga satu kerugian yang amat besar dalam hidup seseorang pendiam yang ingin dilihat sebagai seorang pendiam.

____________________________________________________________________________


   Sebelum mengakhiri entri ini, saya ingin meminta maaf kepada pembaca yang mugkin tersinggung atau terkecil hati mengenai entri ini. Ia semua bergantung kepada pandangan dan pemikiran saudara semua, sama ada ingin melihat entri ini sebagai sebuah entri satira, mahupun entri satria yang mahu dilihat sebagai seorang yang cendekia.

  Juga ingin diucapkan SEMOGA BERJAYA kepada abang-abang dan kakak-kakak yang bakal menduduki SPM dan STPM. Semoga dipermudahkan Allah Ya Rabb.

Tuesday, 6 October 2015

Proses Penerbitan Buku Sulung


  Untuk pengetahuan pembaca, sebenarnya penulis juga adalah seorang yang bergiat, tidaklah juga begitu aktif dalam dunia penulisan dan juga sastera tanah air. Tapi tak begitu terkenal. Yalah, lahir pun dari negeri yang kurang dilihat dunia.

  Oleh yang demikian, penulis kini sibuk dalam menyiapkan sebuah buku sulung penulis, atas nama Satria Saqti. Dan insyaAllah akan dihantar kepada pihak pencetak untuk dicetak pada hujung bulan Oktober ini.

  Sebenarnya, penulis masih lagi belum ada pengalaman dalam bidang penerbitan buku. Penulis hanya melihat sedikit sebanyak perkongsian dari internet yang dikongsikan oleh orang-orang buku dalam cara dan apa yang perlu diambil kira dalam proses penerbitan buku.

  Sehubungan itu, mungkin penulis juga akan agak sibuk menguruskan penerbitan buku Buatmu Teman (judul buku sulung Satria Saqti), sehingga tidak dapat mengemaskini entri di dalam blog.

  Oleh itu, sukalah penulis untuk berkongsi dengan pembaca sekalian dengan kulit buku yang insyaAllah akan menjadi kulit buku Buatmu Teman.



   Kulit buku pun design sendiri. Susah nak kurangkan bajet dalam penerbitan buku.  

Monday, 28 September 2015

Apa Yang Berlaku Terhadap Orkid Di Sabah ?


  Entri kali ini, penulis akan bercerita tentang nasib bunga orkid di Sabah. Bagi yang duduk bawah tempurung, tak tahu apa itu orkid, bolehlah lihat foto di bawah.


bunga orkid. 
credit: Kulanz Salleh


  Untuk pengetahuan rakyat Malaysia dan dunia (kalau ada), Datuk Seri Masidi Manjun merangkap Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Negeri Sabah telah berniat baik untuk menjadikan bunga orkid sebagai 'bunga pelancongan' di negeri Sabah.

  Mahu jadikan bunga orkid ini sebagai sebuah aset pelancongan bukan saja-saja. Ini kerana 54% daripada tumbuhan orkid yang terdapat dalam Kepulauan Borneo ini dan dengan 870 spesies orkid boleh didapat di Taman Kinabalu. Dan ini menjadikan Taman Kinabalu sebagai pusat penanaman orkid TERLUAS DI DUNIA

  Jadi kenapa makcik-makcik petang yang suka dengan bunga-bunga, terutama sekali bunga orkid, bolehlah mula menanam dan menjadi kawasan terluas di dunia yang menanam orkid.

  Menurut pemerhatian penulis, setiap rumah yang penulis kunjungi di Tawau,Sabah ini, mesti mempunyai sekurang-kurangnya dua pasu bunga orkid tergantung. 



  Dan mengikut kanta mata penulis, bunga orkid ini sebenarnya mempuai satu wajah yang lain daripada bunga yang lain dan mempunyai keunikan tersendiri. Rupa-rupanya baru tahu yang untuk menanam orkid, haruslah ada bahan-bahan yang dianggap pelik iaitu arang, serbuk kayu dan lain-lain. Patutlah penulis hairan mengapa arang-arang digunakan untuk menanam pokok orkid dan bukannya tanah (bergantung kepada spesies orkid barangkali). 

  Baiklah. Penulis di sini bukan mahu mengajar teknik atau petua menanam bunga orkid. Di hujung entri ini penulis ada selitkan satu laman web yang mungkin boleh mengajak makcik-makcik shopping beralih profesi kepada makcik-makcik orkid. 


Sunday, 27 September 2015

Rakyat Malaysia Bencikan Rasialis


  Penulis mendapat ilham untuk menulis entri ini apabila menjenguk laman web Mynewshub. Kononnya mahu cari tahu tentang perangai-perangai masyarakat Malaysia di sekeliling ini. Baca punya baca, ada satu entri yang menarik perhatian penulis iaitu :

Bukti Rakyat Malaysia Tak Suka Dengan Isu Perkauman @ Mynewshub
Artikel ini disiarkan pada 25.9.2015


ihsan: Mynewshub

  Menurut pihak Mynewshub, tiga orang lelaki yang berketurunan Melayu, Cina dan India membuat satu kajian sosial di ibu negara bagi membuktikan yang rakyat Malaysia sememangnya bencikan rasialis.

  Dengan mata tertutup dan papan tanda mereka, ketiga-tiga anak muda Malaysia ini pergi ke tempat yang berlainan dan ingin mendapatkan reaksi dan respon daripada orang Malaysia. 

  
ihsan: Mynewshub

  Ini adalah satu inisiatif rakyat Malaysia yang begitu hebat untuk menyatakan yang bahawa masih ramai lagi masyarakat yang bencikan perkauman. Walaupun bukan semua 29,852,500 rakyat Malaysia turun memberi sokongan terhadap anak-anak muda ini, tetapi beratus orang Kuala Lumpur yang menyokong #SayNoToRacism ini sudah cukup untuk mewakili masyarakat Malaysia. 

  Kempen ini juga bagus untuk orang-orang Malaysia yang memang tidak pandai untuk menghargai nilai sebuah perpaduan.

Video di bawah dapat membawa anda untuk menilai sendiri, sejauh mana dan sebesar mana rakyat Malaysia bencikan perkauman di kalangan kita semua.

 
sumber: Youtube

 Kepada orang-orang yang suka sangat timbulkan isu perkauman, duduk sebentar sambil menghirup secawan kopi perpaduan, dan fikir-fikirkanlah. Kebodohan apa yang sedang anda lakukan.


Saturday, 26 September 2015

Entri Untuk Kesekian Kalinya


Saya mulakan entri pertama ini dengan lafaz mulia, Assalamualaikum.

  Sudah jadi lumrah seorang blogger baru, tidak tahu apa bahan yang hendak dijadikan entri pertama dalam sesebuah blog. Maka dari itu, penulis memperkenal blog satriasaqti kepada pembaca.

NAMA

  Nama satriasaqti bukanlah nama yang diletak hanya untuk hiasan. Nama satriasaqti bukan juga nama seperti mana yang terletak di kad pengenalan orang Malaysia.

  Nama satriasaqti sebenarnya adalah nama saja-saja, nama samaran ataupun enaknya didengar nama pena, walaupun sebenarnya belum ada lagi buku yang diterbitkan atas nama satriasaqti. Okay, berhenti cerita pasal nama yang menjengkelkan ini.

ISI KANDUNGAN

  Blog satriasaqti akan mengenyangkan perut-perut anda semua yang kelaparan dengan sibuk mahu tahu perlakuan harian seseorang, dengan catatan perjalanan (ini mungkin agak kurang kerana penulis bukannya seorang traveller), dengan kisah-kisah manusia yang berlaku di bulatan hidup saya dan anda. Tapi, ini hanya sebuah kertas kerja sahaja. InsyaAllah akan ditandatangan dari masa ke semasa.

PENGALAMAN PENULIS

  Penulis sebenarnya sudah lama pun bertapak dalam dunia blog. Tetapi, belum pernah jadi blogger yang masyur. Penulis mula masuk dalam gua blog ini sejak tahun 2012 lagi. Walau bagaimanapun, penulis masih lagi bergelar seorang newbie, dulu kini dan selamanya. Maka dari itu, penulis mengharap 100% sokongan dari pembaca untuk sentiasa menyokong satriasaqti dalam keadaan susah dan senang.

  Mungkin dengan serba sedikit perkongsian pengetahuan am ini, maka pembaca dapatlah menyimpulkan dan menilai sendiri dengan otak geliga pembaca masing-masing tentang blog satriasaqti.